Mat Moto Satuni Pelajar Darul Tahfiz Gerik

Mat Motor santuni pelajar tahfiz

rencana@hmetro.com.my

Keistimewaan pemilik motosikal berkuasa tinggi kini bukan hanya berkonvoi ke destinasi untuk bersantai, tetapi turut mencurahkan bakti kepada komuniti terpilih serta memberi sumbangan kepada keluarga daif atau pertubuhan memerlukan.

Keprihatinan 100 pemilik motosikal berkuasa tinggi daripada Perak Bikers 08 pada program Mega TTS Ride Amal Perak Bikers, menyantuni 32 pelajar tahfiz di Darul Tahfiz Gerik (DTG) Kampung Padang, Gerik, baru-baru ini wajar dicontohi.

Program itu bukan sekadar untuk melihat pembelajaran di pusat tahfiz berkenaan, tetapi menyelami pelbagai aspek rutin harian pelajarnya dan menyampaikan sumbangan bagi menampung keperluan perbelanjaan harian mereka.

Penyelaras Program Azham Muhamad berkata, pemilihan destinasi ke pusat tahfiz yang kurang pelajar seperti itu adalah bagi menceriakan penghuninya yang jarang mendapat perhatian dan sumbangan orang ramai.

“Kami meminta keikhlasan daripada ahli supaya menghulurkan sedikit wang dan berjaya mengumpul RM3,700 untuk diserahkan kepada pengurusan pusat tahfiz berkenaan.

“Kami turut teruja kerana kedatangan disambut dengan persembahan menarik daripada pelajar di pusat terbabit dengan lagu nasyid dan qasidah sarat dengan nasihat yang me­nyentuh hati kami,” katanya.

Azham berkata, program itu bertujuan bagi menarik minat mat motor sekitar Perak dalam program amal dan menunaikan tanggungjawab sosial membantu pertubuhan yang memerlukan.

Menurutnya, selain itu ia juga melahirkan semangat kerjasama antara mat motor di samping menekankan aspek pemanduan berhemah dan keselamatan kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain semasa menunggang.

Katanya, peserta konvoi motosikal dari Ipoh, Taiping, Kuala Kangsar dan Lenggong itu turut diiringi Skuad Motosikal Berkuasa Tinggi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak Ipoh yang melalui Kuala Kangsar, Lenggong dan Gerik.

Peserta konvoi juga berhenti di beberapa lokasi untuk minum di warung sambil bermesra dengan penduduk kampung sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi di Darul Tahfiz Gerik.

“Program amal seperti ini terus diadakan pada masa depan dan akan meluas ke seluruh Semenanjung dengan membabitkan lebih ramai penyertaan daripada mat motor yang berminat menyertainya demi memberi banyak manfaat bersama,” katanya.

Sementara itu, Pengetua Darul Tahfiz Gerik Hazmin Mokhtar berkata, pihaknya terharu di atas keprihatinan Perak Bikers 08 yang berkonvoi ke pusat pengajiannya kerana ia menyuntik semangat pelajar di samping bukti cakna daripada mat motor.

“Darul Tahfiz Gerik yang mula ditubuhkan pada 2014 lalu dan kini masih menggunakan rumah penduduk yang disewa pada kadar RM300 sebulan memerlukan sumbangan daripada orang ramai bagi mengisi dana untuk pembelajaran.

“Semua pelajar berusia 13 hingga 25 tahun me­ngikuti dua program iaitu tahfiz dengan sepenuh masa manakala pelajar program intensif Bahasa Arab pula berusia 16 hingga 25 tahun sebagai persediaan untuk mereka menyambung pengajian ke Yaman,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2017 @ 4:11 AM

Comments

Popular posts from this blog

SUMBANGAN PEMBANGUNAN SURAU DAN ASRAMA

SUMBANGAN DANA DIPERLUKAN